Selasa, 3 Disember 2013

MEMPERBAIKI KEISLAMAN DIRI

MENGHAYATI KEISLAMAN

Islam itu umpama pokok yang bercambah akar dengan tiga fragmennya, iaitu Akhlaq, Fiqh dan Aqidah. Tanpa mereka wajah Islam pada diri seorang mu’min suram dan bobrok. Aqidah itu adalah akar, akar kepada pokok yang menjadi tunjang dan memegang asas pokok itu. Fiqh itu menjadi batang kepada pokok yang terus memegang isi pokok terus tegak sedang akhlak yang menjadi daun dan buah yang menghiasi keindahan pokok, menjadi dahan yang rimbun memberi keteduhan pula pada makhluk lain. Tidak guna peribadi yang hebat, ilmu fiqh bergunung-gunung, karisma dan aura yang diidola ramai dan peribadi mulia jika dia mensyirikkan Allah. Kerana Aqidah begitu bereerti bagi menjiwai siapakah itu manusia, bagi mengenal apakah nilai sebenar di sebalik sehirup udara yang Allah beri. Manakala, Aqidah dan Akhlaq yang jelas tanpa Fiqh menjadikan Islam itu dungu dan dilihat enteng, seterusnya Aqidah dan Fiqh yang jelas tetapi tanpa nilai etika dan moral akhlaq pula hanya akan menjadikan Islam itu dibenci dan buruk.  Justeru ketiga -tiga isi Islam ini harus digenggam bersama. Begitulah peranan Fiqh dan Aqidah melengkapi binaan Islam.


ISLAM BERSAMA MAKNA
Mari analogikan maksud ini dengan sebuah cerita. Seorang Doktor membedah pesakit pesakit jantung, selepas dibedah jantung pesakit berhenti serta merta. Semua pihak terkejut dan merasakan keadaan buruk itu. Setelah disiasat dengan teliti, didapati doktor tersebut tidak pernah membaca satupun syarah biologi, apatah lagi membedah mahupun belajar membedah. Pelik! Bagaimana boleh? Timbal refleks dari cerita itu, Kita akhirnya perlu yakin bahawa title itu hanya bermakna bilamana kehebatan itu selaras gelaran tersebut. Tidak ada gunanya bergaya sakan dengan title tetapi kerjanya kita tidak pun mengerti. Kini, apakah kita seorang islam yang tidak tahu membedah? Ukurlah dari 3 ciri tadi, aqidah, fiqh dan akhlaqnya kita? Kita sudah fahamkah apa itu aqidah? Kita sudah fahamkah apa itu fiqh dalam urusan sehari-hari,  fiqh di dalam solat, fiqh dalam da’wah, fiqh tika jihad, fiqh berekonomi? Ataupun mungkin maksud fiqh itu sendiri pun kita masih tak mengerti? Kita sudah fahamkah apa itu akhlaq yang diintasari nabi junjungan kita? 5 rukun Islam sudahkah kita perjuangkan? Justeru mengapakah kita masiih boleh berasa selesa? Setelah lama kita memegang title sebagai Islam ini, Apalah ertinya kita memegang gelaran namun terus membiar ruang kosong di dalam islam terus kosong. Maka mungkinkah kita juga saling tidak tumpah dengan umpama yang dianalogi sebentar tadi. Kerna itu kita perlu terus menyegar dengan berusaha sentiasa, dan memberi erti kepada keislaman kita. Mana mungkin seorang doktor kelihatan seperti lawyer. Dan begitulah seorang muslim tidak boleh terjadi seperti bukannya islam. Jadi lah doktor yang tahu, ingin membedah dan faham ilmu kedoktoran!
ۚ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِنْ قَبْلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ
Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu
(Surah Hajj:78)

                Seorang ulama tersohor yang memimpin gerakan ikhwan di Lubnan, Fathi Yakan pernah menulis di dalam bukunya “ماذا يعني انتماء الإسلام  Apa Ertinya Saya Menganut Islam? ” menyatakan bahawa keislaman yang sebenar itu akan bereerti jika dihayati daripada beberapa aspek.
1.       Islam dari sudut aqidah
2.       Islam dari sudut Ibadah
3.       Islam dari sudut Akhlaq
4.       Islam dari sudut keluarga
5.       Mampu menguasai diri
6.       Mesti meyakini masa depan Islam yang gemilang. Untuk pencerahan lanjut, boleh mendapatkan dari buku tersebut sendiri kerna ianya lebih lengkap
 Setiap aspek ini haruslah kita hayati sedaya dengan segala kudrat yang ada untuk mengeertkan keislaman kita dan mengisi makna di atas jawatan muslim yang kita sandang.

MENJADI CETAKKAN ISLAM
                Menjadi Islam separuh-separuh tidak cukup. Akan tetapi kita harus menjadi Islam yang “sebijik” sebagaimana Islam itu diajarkan dan menjadi cetakkan Islam langsung dari Quran dan Sunnah. Sebagaimana kertas yang kita fotokopi, akan tercetaklah kertas yang serupa. Sebagaimana Nabi S.A.W juga menjadi mesin pencetak. Beliau mencetak sahabat-sahabat seumpama kertas asal Islam dan difotokopinya satu demi satu mus’ab bin Umair, Abu Ubaidah, Talhah ibn Ubaidillah, Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Sa’ad ibn Abi Waqas, Ali ibn Abi talib, dan sekalian sahabat Radhiallahu ta’ala anhum ajma’in . Maka terhasillah jiwa-jiwa yang hebat seperti Abu Dujanah yang menangkap anak panah dengan telapak tangannya sendiri demi menyelamatkan nabi S.A.W, Uthman affan yang mengorbankan 300 ekor untanya dan membiayai segala kelengkapan tentera seramai 30,000 orang semasa perang Tabuk, Abu Talhah Al-Ansari yang tidak pernah gentar untuk sentiasa berada dihadapan nabi bagi melindunginya tika perang, dan sebahagian besar pengorbanan sahabat lain. Mereka semua hebat, kerana telah dicetak keislamannya oleh baginda Nabi S.A.W satu persatu.
Baik, mungkin setengah mempersoal, Bagaimana kita pada hari ini kerana tidak ada sesiapa yang mencetak diri kita, tidak ada ustaz dan guru, tidak ada Imam dan ilmu. Jika terdetik itu, mungkin apa yang kurang sebenarnya adalah diri kita sendiri. Kita bertanya apa yang kita belum dapat, tapi kita sering lupa teramat sikit yang kita buat. Pembaca, kita tidak mampu mencetak diri sendiri. Carilah guru, ustaz,syeikh, murabbi(pendidik agama) buat diri, supaya kita dicetak. Namun berhati-hatilah memilih guru. Nilailah dengan akal dan iman. Mungkin setengah tertanya mengapa Allah tidak lahirkan sahaja kita menjadi orang alim atau sekurangnya dalam surrounding islam, mudahlah nak jadi orang baik. Namun, pernah kah kita tanya apa usaha yang telah kita perbuat untuk memperbaik keislaman kita pada kapasiti yang kita ada. Sedangkan Allah telah pun memberkan islam itu pada kita. Hanya tinggal untuk perbaikinya sahaja. Kita tidak disukarkan seperti orang yang lahir dalam suasana kekafiran, terkapai-kapai dan tersesat-sesat mencari cahaya. Dalam satu kisah yang diceritakan di dalam hadis Sahih Albukhari, (5/3827) Seorang lelaki bernama Zaid ibn ‘amr ketika suasana itu, manusia disibukkan dengan Syirik, maka dia telah pergi mengembara jauh sehingga ke Sham (Wilayah yang kini meliputi Syria, Lebanon, Palestin dan Jordan) semata-mata untuk mencari agama yang sebenar. Akhirnya dia menjumpai agama yang mentauhidkan Allah diatas pengorbanannya itu. Boleh lah kita bisik pada diri, Adakah hari ini kita perlu berjalan sejauh itu untuk mendapatkan Islam? Kontra pada hari ini, Islam pula yang datang pada kita. Tweets , dan fb post, dan notifikasi dari social media tak kurang yang memberi pesanan islam pada kita setiap waktu. Malangnya kita masih malas dan merasa banyak urusan lain yang jauh lebih mustahak. Kita biarkan seruan dan peringatan itu berlalu seperti anhin sepoi-sepoi bertiup. Kita sibuk lapar dan merungut kerana lauk jiran lebih mewah, tapi lupa nak makan Nasi dan lauk yang ada di bawah tudung saji sendiri. Perut terus lapar, dan kita sibuk menyalahkan keadaan. Akhirnya mati kebuluran. Peluang agama yang ada di dalam ruang sekeliling kita itu yang perlu dimanfaat dahulu sebelum sibuk berfikir jauh dan menyalahkan taqdir. 

Maka tak perlulah bermimpi untuk dilahirkan di dalam keluarga alim kerna belum tentu kita mampu memikulnya. Tak semua yang kita sangka lebih layak untuk diri itu baik, akal kita terbatas dan hanya tuhan sahaja tahu apa yang terbaik. Maka usahalah dengan jitu segala peluang yang ada, yang Allah telah kurniakan setakat ini, untuk mengislamkan keislaman kita. Berpuashatilah dengan kudrat yang ada. Dan bekerjalah untuk apa yang tiada.
Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.(Surah Al-Baqarah : 216)
Menjiwai jiwa dan tuju islam, kita perlukan contoh, untuk kita belajar dan mengejar nilai. Sedari kecil lagi kita mencontoh ibu untuk berjalan, mencontoh rakan untuk bermain, mencontoh guru untuk belajar. Sudah tentu untuk mencapai tuju islam, kita juga perlu mencontoh. Maka tuhan juga mengerti rapuh dan batas manusia, kerna tersebut tuhan pilihkan contoh terbaik juga dari manusia yang makan, minum, beristeri dan bertata susila setabi’e hidupnya manusia biasa, namun mengajar kita menjadi luar biasa. Nabi Muhammad S.A.W. Dialah contoh dan bimbing yang terbaik, hasil cetakkan terus dari Quran. Berjalannya Nabi S.A.W sepertilah apa yg disuruh di dalam Al-Quran, berkata nabi S.A.W seperti itu jugalah suruhan Al-Quran, hidupnya nabi sepertinya jugalah suruhan Al-Quran. Maka tuju itulah yang kita perlu bercontoh. Dengan mencontohi menifestasi hidup dari Quran(rasulullah s.a.w) kita menjadi cetakan Islam. Sungguh malang manusia yang beridolakan manusia biasa hanya kerna paras rupa dan solek wajah mereka. Namun yang mendamba Nabi Muhammad S.A.W akan luarbiasa dirinya meskipun dimata manusia dia tidak disedari kedatangannya dan tidak dilambai pemergiannya. Di mata Allah, dia sangatlah. Hebat!
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah Al-Ahzab : 21)
Jelas, Nabi Muhammad S.A.W itu sebaik-baik teladan. Dalam apa pun. Ekonomi, agama, sosial, politik, rumahtangga. Contohi lah dia. Inilah insan yang kita perlu bersengkang mata membaca mengenainya. Dan menuruti kehebatannya. Menjadikan segala kebenaran di dalam dirinya diserap menjadi diri kita pula. Cukuplah sudah kita leka menonton hiburan yang tiada faedahnya. Mendengar lagu dan asyik iramanya. Disini keislaman kita yang tiada bimbingan lebih tenat perlu di bentur. Keislaman yang kosong lebih mustahak diisi. Jika kita berjaya menjiwai seluruh Quran dan Sunnah nabi S.A.W maka itulah cetakkan islam yang sebenar. yakni bukan dengan hanya membaca sirahnya atau menceritakan kehebatannya, dan mengagumi kehebatannya. Tetapi dengan cuba mencontohi dirinya, Rasulullah S.A.W.
Syeikh muhammad ghazali, Seorang ulama yang alim di dalam Sirah pernah menyebut di dalam pengakhiran kitab sirahnya.
قد تظن أنك درست حياة محمد صلى الله عليه وسلم إذا تابعت تاريخه من المولد إلى الوفاة, وهذا خطاء بالغ إنك لن تفقه السيرة حقاً إلا إذا درست القرآن الكريم والسنة المطهرة
**Anda mungkin berfikir bahawa anda telah mengkaji kehidupan Nabi Muhammad S.A.W jika mengikuti sejarahnya dari lahir hingga wafat, ini adalah teramat salah. Sungguh anda tidak akan memahami sirah(sirah nabi s.a.w) dengan sebenarnya melainkan pabila anda mempelajari Al-Quranul Karim dan Sunnnah.**


Penjelasan ini sungguh menempelak diri kita, rupanya tahu dan baca Sirah itu hanya bersifat introduction dan tidak cukup terhenti di situ. Akan tetapi mempelajari dan mengenali diri Nabi S.A.W dengan sebenarnya adalah dengan mepelajari Quran dan Sunnah itu sendiri. Maka apakah kita mampu mengenal Rasul jika membaca Quran sendiri kita malas. Membelek kitab sirah dan hadis atau sekurangnya juga mendengar kuliah agama kita masih merasa tak penting. Ingatlah, hanya dengan mengamalkan quran dan sunnah kita dapat mematah rantai-rantai dunia serta tipu dayanya. Berusahalah untuk memahami Nabi Muhammad S.A.W setiap hari setiap masa yang ada. Amalkan jadi kehidupan, sehingga sedikit demi sedikit kita  dicetak menjadi ISLAM yang sebenar yang selayaknya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan