Sabtu, 31 Ogos 2013

MENUTUP AURAT

Perkataan Agama itu tidak pegun jika sekadar difahami sebagai agama, Akan tetapi melangkaui darinya, agama islam diturunkan kepada sekalian manusia sebagai aturan "cara hidup" yang sempurna. Dari cara bangun tidur, ke pasar, cara berhias, membuang air, tuturcara keluar dari rumah, makan, cara berjalan sehinggalah ke rangka urusan ekonomi, siasah politik, negara, dan kepemimpinan, islam sentiasa menyediakan kaedah tatakelola dan manajemen selia hidup bagi manusia. Allah menjelaskan hal ini dalam quran surah Al-Imran : 19 [Sesungguhnya ad-deen(aturcara hidup) disisi Allah hanyallah Islam.] maka dari sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar kepimpinan telah Islam sediakan landasan bagi memandu hamba Allah berjalan. Tinggal saja orang yang mengaku dia Islam ini, perlu mengikut "track" yang Allah telah pun sediakan ini(ad-deen) supaya langkahnya sentiasa terarah sebagai muslim. 


APA ITU CARA HIDUP ISLAM(AD-DEEN) ??

Perkataan deen daripada surah Al-Imran : 19 [Sesungguhnya ad-deen(aturcara hidup) disisi Allah hanyallah Islam.] ditafsirkan oleh Imam Qurtubi di dalam kitab tafsirnya Al-Jamik li-Ahkamil Quran membawa maksud "taat dan millah" apakah itu millah? millah  bermaksud 'cara hidup'. Allah itu mencipta hambanya tidak zalim. malah dialah yang seadil-adilnya. Dia menciptakan Perasaan dan yang dirasa begitu jua Dia menciptakan rasa lapar dan mencipta makanan. Cuba bayangkan jika kita hanya dikurnia Allah rasa lapar tetapi tiada diatas bumi ini sejenis makanan pun? akan tetapi Allah sekalipun berhak dan mampu melakukannya, Allah tidak sekalipun menzaimi kita. Begitu juga halnya Allah menciptakan manusia disertakan dengan selerak masalah yang melanda dan Allah tidak hanya membiarkan kita terkapai-kapai di dalam kebingungan !! Allah berikan solusi melalui Quran untuk di baca dan difahami seterusnya diamal terus semaksima mampu, kerana dengan pengamalan Quran itulah yang dapat merungkaikan masalah yang seringkali menyukarkan hidup.

Jika mudah untuk kita fahami disini, Islam menjadi sebuah cara hidup terbaik kerana ia dicipta oleh Al-khaliq iaitu Allah Yang Menciptakan. Analogi mudah bagi idea ini, dapat kita faham dengan contoh talian hubungan Bill Gates dan komputer. Bill Gates seorang tokoh yang telah menciptakan komputer peribadi pertama di dunia. Pastinya yang paling mengetahui tentang masalah dan keperluan komputer tersebut adalah beliau sendiri. Mengapa? Kerana beliau yang menciptakan alat tersebut. Beliau tahu dan arif benar di mana letaknya komponen-komponen komputer tersebut dan cara membaiki serta memeliharanya. Begitu juga halnya dengan Allah yang menciptakan aturcara hidup buat kita. Ia menjadi cara hidup yang terbaik kerana kita secara total diciptakan oleh Allah, pastinya satu-satunya yang mengetahui kekurangan, kelemahan kerencaman ragam kita, hanyalah Allah. Maka Allah sahajalah yang mengetahui solusi serta ramuan ubat apa yang terbaik buat kita. Yakinlah dengan syariat yang telah diturunkan buat kita ini, tiada lain melainkan buat kebaikan kita. Menutup aurat, menunaikan solat, meninggalkan rasuah, melaksanakan zakat, walau demikian terasa berat kadangkala, namun kita harus terus konsisten optimis dan sedar bahawa ini adalah solusi terbaik bagi mengurus manusia.

Islam tidak pernah menjadi “penyusah”, tetapi ia adalah “pengurus” hidup manusia kepada redha Allah.



PREVENTION IS BETTER THAN CURE
(MENCEGAH LEBIH BAIK DARI MENGUBATI)

Seperti yang telah jelas, menutup aurat itu adalah apa yang Allah ingin kita buat. Yang mana ianya untuk kebaikan kita sendiri. Terbukanya aurat bukan sahaja mengundang pelbagai fitnah, malah dengannya juga mampu mengudang kecelakaan kerakusan nafsu manusia. Kerana itu satu perkara yang perlu untuk kita fahami, bahawasanya Syariat dan undang-undang di dalam Islam bersifat mencegah bukan sekadar mengubati. Misalnya, zina haram di dalam islam, akan tetapi cara hidup Islam megatakan bahawa jalan kepada zina itu sendiri sudah terlebih dahulu haram(berdating, menonton video lucah, bercinta sebelum nikah dll semuanya tergolong haram kerana menjadi jalan kepada zina.). Surah Al-Isra’ : 32 [Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat]. Hal ini dicorak lukis dalam aturan begini agar nafsu manusia dapat diurus dengan baik sebelum ianya membawa ke tahap yang lebih merbahaya. Demikian sama halnya, dengan kewajiban menutup aurat juga membawa penghayatan yang sama iaitu mencegah.
Di dalam Islam, sesuatu perkara itu diharamkan kerana di dalamnya ada rahsia yang ingin dipelihara. Sebagai contoh, arak diharamkan agar dapat menjaga rahsia-rahsia yang ada di dalam akal fikiran kita, hal ini kerana jika kita dalam keadaan mabuk, pastinya mungkin saja kita menceritakan apa sahaja bahkan mungkin menceritakan hal ehwal keaiban diri sendiri kepada sesiapa sahaja. Hal ini membuatkan manusia hilang nilai sosialnya di mata masyarakat. Juga, pengharaman zina supaya rahsia bagi seorang wanita itu hanya dapat dikongsi hanya bersama suaminya. Begitu sama dengan pengharaman untuk mendedahkan aurat. Aurat itu sendiri adalah rahsia dan perlu dipelihara. Hanya boleh di perlihatkan pada yang mahram sahaja agar rahsia-rahsia wanita/lelaki dapat dijaga.

MENUTUP AURAT WANITA
Untuk penutupan aurat itu dikira sebagai mencegah dan sejajar dengan apa yang disuruh Allah, ianya haruslalah memenuhi spesifikasi dan syarat-syarat yang telah di jelaskan di dalam Quran dan Sunnah.
Surah An-Nur : 31 “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
1)      Berdasarkan ayat diatas, di jelaskan bahawa wajib bagi seorang wanita islam menutup juyubuhunna(belahan dadanya). Jadi kriteria tudung atau kain yang ingin digunakan bagi menutup belahan dadanya itu mestilah labuh meliputi dada terutama bahagian belahan dada itu sendiri agar kawasan ini dapat di tutup dengan sempurna. Juga yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "Janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan". [Lihat Abu Bakar Al Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316]. Selanjutnya, kalimah (kecuali yang - biasa - nampak darinya), ini bermaksud ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah. Bagi fabrik atau material kain itu pula mestilah yang tidak melekat(menampakkan bentuk) dan  tidak menampakkan warna kulit kerana jika ia menampakkan warna kulit, tidak sah penutupan aurat tersebut.

2)      Melabuhkan pakaian dan memakai pakaian tidak ketat. Satu salah faham yang nyata dan memalukan di mana sesetengah kita beranggapan menutup aurat itu sekadar menutup kepala. Memakai tudung tetapi pakaianya masih sahaja tidak menutup aurat. Budaya ini kadangkala menjadi biasa dan diannggap ‘okey’ walhal ia langung ‘tak okey’ di kaca mata agama. Jadi tutuplah dengan sempurna, tatkala pakai tudung jangan pula pakai seluar jeans ketat, atau pakai t-shirt lengan pendek, memakai kebaya ketat, kain belah, tshirt yang ketat, menampakkan bentuk dan lain-lain fesyen pakaian yang menampakkan aurat, hal ini semua bertentangan dengan nilai agama.

(Al Ahzab:59) “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

3)      Jangan bertabarruj ketika keluar dari rumah. Berkenaan larangan bertabarruj disebut di dalam Surah An Nur:60


“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kawin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan (tabarruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (An Nur:60)

Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah :


“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” (Al Ahzab:33)

Dan Hadis Rasulullah  riwayat dari Bazzar dan At Termizi menjelaskan, “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya”.

Jadi apakah itu tabarruj? Abul A’la al Maududi berkata; “Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna :

  • Wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);
  • Wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir / musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].

ADA YANG TAK TUTUP AURAT, APA SAYA NAK BUAT?

Allah telah menciptakan manusia di dalam sebuah sistem bermasyarakat yang perlu memerlukan satu sama lain. Misal ini umpama sebuah jam. Setiap roda, skru dan komponen di dalamnya tidak mengira besar atau kecil perlu memerlukan satu sama lain. Jika satu rosak, maka sia-sia sahaja yang lain kerna tidak lagi dapat bergerak. Di dalam hal ini wajiblah anda, saya dan kita semua menjadi agen-agen untuk membaiki komponen-komponen yang rosak tersebut. Jika semua orang mengharapkan imam masjid dan ustaz-ustaz sahaja untuk menegur orang yang berjalan mendedah aurat, maka teruskan lah gembira melihat kes pembunuhan bayi, rogol, dan zina berleluasa setiap hari. Ataukah mungkin hati kita sudah mengeras dan lali sehingga berita pembuangan bayi ini sudah terasa “common” bagi dari kita. Sedarlah bahawa generasi muda telah dan sedang  musnah. Jika bukan kita siapakah yang kita harapkan?
1)        Kita harus SEDAR bahawa dosa yang berlaku di hadapan mata kita adalah tanggungjawab diri saya.
Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis sahih riwayat Muslim)
            Seorang bapa WAJIB  menegur isterinya yang tidak menutup aurat dengan sempurna, seorang guru wajib menegur muridnya, seorang majikan wajib menegur pekerjanya, seorang rakan wajib menegur rakanya seorang muslim wajib menegur muslim yang lain. Hal ini kerana setiap perlakuan ma’siat yang berlaku dihadapan kita jika tidak ada usaha lansung untuk mengubahnya, maka akan Allah tanya di akhirat kelak tentang apa yang telah kita perbuat untuk mengubahnya. Ataukah mungkin kita lebih sanggup berendam kepanasan api neraka daripada hanya sekadar melemparkan senyuman kepada pelaku salah dan memberitahu dengan nada yang lembut bahawa perilakunya itu salah disisi agama. Mudah sebenarnya, tapi memang sifat manusia itu malas dan janggal untuk keluar dari zon selesanya. Jadi cukuplah kita tidur selama ini, ubahlah sebelum orang yang kita sayang terlebih dahulu diubah budaya jahilliyyah.

2)      Mulakan dengan orang yang dekat dengan anda.
Mulakanlah menegur orang-orang yang tidak menutup aurat ini dengan orang yang rapat dengan anda dahulu kerana yang mudah dicapai itu lebih mudah dibentuk. Kaum kerabat yang terdekat, adik beradik sendiri,  roommate yang rapat lebih utama sebelum kita pergi ke skop yang lebih besar iaitu masyarakat kerana demikian halnya masyarakat hanya mampu dilakukan sekiranya disampaikan secara berkumpulan.

3)      Tegurlah dengan hikmah(bijaksana)
Amat penting dalam proses mendidik manusia itu mesti dengan bijaksana. Perlu ada stratergi dan aim. Tak boleh main serang sahaja. Jadi jikalau ingin menegur isteri, orang yang tersayang,sahabat, adik beradik sendiri, amat mustahak untuk melemparkan senyuman manis dan menggunakan bahasa yang paling lembut untuk menegur kerana manusia memang sifatnya cenderung untuk melakukan kesalahan. Kadangkala bukan mereka ingin melakukan kesalahan itu dengan sengaja, mungkin terlupa, mungkin dah lama tidak diingatkan, mungkin tak sengaja. Banyak kemungkinan. Jadi cukuplah kita sedar bahawa fungsi kita hanya menjadi penyampai bukan pengubah. Sedang nabi sendiri tidak mampu memberi hidayah untuk mengubah manusia akan tetapi hanya Allah yang mampu. Allah sebut di dalam surah Al-Qasas ayat 56 [ Sesungguhnya engkau(wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya. Dan Dia jualah yang lebih mengetahui orang-orang yang(ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk]
Dalam proses pentarbiahan ini tidak kurang pentingnya untuk sentiasa menjaga hubungan baik dengan orang yang ingin disampaikan. Seorang tokoh Ulama’ harakah yang mahsyur iaitu Syeikh Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah mengatakan : “dalam da’wah dan menyampaikan risalah Allah ini, kita akan perangi semua orang, menggunakan senjata kasih dan sayang.” Jadi, dalam proses untuk menegur ini sangat penting untuk sentiasa menjaga hubungan baik dan mengeratkan kasih dan sayang. Kerana Sayang sejak dahulu telah terbukti menjadi senjata ampuh dalam usaha da’wah jika dapat diguna dengan tepat. Memberi hadiah, sedia mendengar masalah mereka, menolong tika susah, ini semua sangat membantu dalam melicinkan proses terbiah(mendidik). Namun demikian, HIKMAH TAK BERMAKNA LEMAH. Pada yang mempunyai kuasa, tidak salah menggunakan kuasanya untuk mengubah kemungkaran, malah ianya terpuji dan dituntut walaupun tidak disukai oleh orang yang ditegur dan ditarbiah. Misalnya seorang majikkan mewajibkan kesemua pekerja wanitanya untuk memakai tudung ketika waktu kerja, hal ini sangat baik dan berpahala jika dapat dilakukan, malah seseorang yang melihat kemungkaran sedang ketika itu dia ada kuasa untuk mengubahnya, dan dia tiada melakukan apa-apa, maka ulama’ menggelar merka dayus(bacul). Seorang suami juga misalnya mempunyai kuasa untuk mengarah isterinya berbuat sesuatu, maka saat isteri sudah cuba dididik dengan cara lembut dan sayang, dan masih berkeras untuk tidak menutup aurat, maka boleh sahaja untuk sedikit berkeras dan bertegas. Hal ini sangat mustahak dalam pembinaan rumah tangga.

4)      Beranikan diri dan Ikhlas semata-mata kerana Allah.
Mengapakah saya cuba mengaitkan berani dan ikhlas? Ya, Kerana dua sifat ini inter-related sebenarnya antara satu sama lain. Mari kita mengambil contoh dari kisah mahsyur sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang sangat hebat, Abu Ubaidah Al-Jarrah. Abu Ubaidah seorang anak yang sangat taat, sayang, kasih dan cinta pada bapanya. Namun ketika menerima hidayah dan ditiupkan di dalam dadanya keikhlasan cinta kepada Allah dan Rasul melebihi segala-galanya, Abu Ubaidah sanggup lakukan apa sahaja demi agamanya. Sayang, ayahnya masih enggan Islam dan terus berjuang demi berhala al-lat dan uzza yang diagung-agungkan kaum musyrikin mekkah sehinggakan ayahnya bersumpah akan membunuh anaknya kerana memeluk agama Muhammad. Ditaqdirkan Allah anak dan bapa ini bertemu di dalam perperangan Badar. Abu Ubaidah cuba mengelak sedaya mungkin dari bertemu bapanya sendiri, namun tetap sahaja bapanya mencari batang tubuh anaknya itu untuk dibunuhnya. Akhirnya tak dapat dielak lagi dan ketika berhadapan bertentang mata, Abu Ubaidah lantas menebas dan memotong ayahnya hingga terbelah dua. Hal ini membuatkan Abu Ubaidah merasa bersalah kerana teringatkan bapanya sendiri sehinggakan seusai perang baginda berjumpa baginda Nabi S.A.W dan menceritakan hal tersebut. Kemudiannya Nabi S.A.W menerima wahyu dari Surah Al-Mujadalah ayat 22 yang mana ayat tersebut diturunkan bagi menenangkannya. [Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang Berjaya].
 Perbuatannya mungkin sekilas tidak masuk akal di mata manusia, tapi ingatlah tika kita ikhlas semata-mata kerana Allah  maka tidak ada apa lagi yang harus kita takutkan. Ujian kita jelas tidaklah setinggi Abu Ubaidah bertemu bapanya, maka tidak susah sebenarnya. Allah hanya meminta kita menyampaikan pada orang yang dekat dengan kita sahaja, maka JANGANLAH TAKUT untuk menegur. Beranikan diri sebagaimana Abu Ubaidah memberanikan diri. Untuk sesuatu yang Haqq(benar) disisi Islam kita perlu sentiasa optimis dan berfikiran positif. Singkirkan alasan-alasan yang berlegar di fikiran kita untuk memadamkan usaha murni ini. Contohnya kadangkala kita sudahpun ada keinginan untuk menegur seseorang, tetapi bila terfikir orang yang lebih alim dari aku pun tak tegur mengapa aku perlu. Dah selalu tegur tak de ape pun jadi. Dia mesti tak terima punya. Ini semua hanya persepsi dan tanggapan-tanggapan yang dibisikkan syaitan dan nafsu semata. Alasan-alasan inilah yang menghenti dan membantutkan usaha da’wah dari terus bergerak. Sebaliknya musnahkanlah alasan-alasan itu dan sedar lah bahawa betapa kritikalnya keadaan umat sekarang dan perlunya untuk kita berada disitu dan membetulkan keadaan.

5)      Sentiasa Refleksi diri, Bila Menegur sedialah untuk ditegur.
             Peranan syaitan durjana itu sentiasa ingin mengucar-kacirkan manusia. Maka siap siagalah kerana di dalam amal baik juga tiupan hasutan syaitan itu tak pernah lekang. Dalam soal ini, Selalu senjata yang common diguna puak iblis dan syaitan ini ialah dengan meniupkan riak dan takabbur. Jadi tika menyampaikan da’wah, kita kene sentiasa berhati-hati dan selalu menyingkir riak. Bila kita menegur sesorang tak bermakna kita lebih baik dari seseorang itu. Bahkan mungkin sahaja kita lebih buruk darjatnya kerana hanya sekadar berkata-kata lebat seperti meriam tetapi satupun tidak kita perbuat. Allah sangat murka dengan orang yang sekadar bercakap tapi tak buat ini. Allah menjelaskan hal ini di dalam Surah As-Saff ayat 2 dan 3 : [Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.]

             Akan tetapi janganlah pula takut untuk menyampaikan kerana ancaman Allah ini, sebaliknya kita perlu menjadi lebih berhati-hati dan bersemangat untuk terus menyampaikan. Yakinlah setiap perkataan baik menyeru orang selangkah dekat dengan Allah itu tersimpan di dalam nya pengampunan dari Allah malah Allah berjanji akan membantu kita menjadi lebih baik. Jadi sebenarnya orang yang banyak mengajak orang lain kepada Allah, Allah banyak membantu dia menjadi lebih baik samada dia sedar atau tidak sedar. Allah menyebut di dalam Surah Al-Ahzab ayat 70 dan 71 [Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.]
      
               Satu lagi hal yang penting saat memberi peringatan sedialah untuk diingatkan. Jangan mudah melenting kerana orang yang mudah melenting itu adalah cerminan bahawa wujud sifat takabbur dalam dirinya. Sedialah untuk menerima kesalahan-kesalahan diri kita ketika ditegur. Sedar bahawa teguran itu sebenarnya datang dari Allah kerana Allah sayangkan kita, maka Allah berikan pengantara untuk menegur kita agar kita tidaklari jauh dari track yang Allah telah sediakan. Terimalah teguran itu meskipun ia pedih kerana teguran itu sifatnya seperti ubat, pahit rasanya tetapi amat darurat diperlukan oleh badan yang sakit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan